Monday, July 9, 2012

Sebab Apa Awak Kahwin?


HUJUNG minggu lalu, ketika meraikan perkahwinan anak saudara di Johor Bahru, kedengaran pelbagai ucapan selamat daripada para jemputan. Wajah mempelai berseri-seri kerana bahagia membina mahligai impian. Rata-rata ucapan yang diberikan seperti di bawah:
“Selamat pengantin baru semoga berbahagia sehingga ke anak cucu.”
“Selamat berbahagia semoga kekal di dunia dan akhirat.“
“Selamat pengantin baru, semoga berbahagia.”
Ada yang hadir menyampuk dan bergurau apabila mendengar ucapan tadi dengan kata-kata: 
“Pengantin hanya berbahagia sehingga mendapat cucu, selepas mendapat cucu hilanglah kebahagiaan atau bercerai apabila telah bosan atau tua.”
“Apalah guna kekal bersama sehingga ke akhirat jika seorang di syurga dan seorang di neraka?”
“Bahagia adalah bersifat sementara dan relatif dengan faktor suasana dan masa.”
Jadi, saya katakan kepadanya, berilah ucapan terbaik (sebenarnya doa) daripada sunnah Rasulullah SAW, maksudnya:
“Semoga Allah memberi barakah bagi kamu dan memberkati keluarga kamu, dan mengumpulkan kamu dalam kebaikan dan kepada kebaikan.”
(Dalam bahasa Arabnya: Barakallah laka, wa barakallahu alaika wa jamaa bainakuma fi kulli khair)Inlah doa untuk pengantin yang diajarkan oleh Rasulullah agar pengantin mendapat kebaikan dan kebahagiaan di dunia (generasi demi generasi dan di akhirat lagi diberkati Allah).
(rujuk artikel ini untuk bacaan lanjut tentang hal ini)
Kita doakanlah pengantin yang diraikan dengan doa ini. Justeru, asas perkahwinan yang bagaimanakah yang paling membahagiakan? Semua perkahwinan mengharapkan kebahagiaan, tetapi berapa orangkah yang dapat menikmati bahagia? Apakah asas perkahwinan yang membuahkan kebahagiaan berpanjangan?
  • Jika asas perkahwinan adalah kerana seks, maka pasangan akan selalu bertengkar jika suasana di bilik tidur tidak memuaskan.
  • Jika asas perkahwinan adalah kerana harta, maka pasangan bakal bercerai jika ekonomi dalam rumah tangga merudum dan muflis.
  • Jika asas perkahwinan kerana kecantikan wajah dan tubuh badan, pasangan akan lari apabila rambut beruban, muka kerepot atau badan jadi gendut.
  • Jika asas perkahwinan kerana anak, maka pasangan akan mencari alasan untuk pergi jika hati (anak) tidak hadir.
  • Jika asas perkahwinan kerana keperibadian, pasangan akan lari jika orang berubah tingkah lakunya.
  • Jika asas perkahwinan kerana cinta, hati manusia itu tidak tetap dan mudah terpikat pada hal yang lebih baik, tambahan pula manusia yang dicintai pasti mati atau pergi.
  • Jika asas perkahwinan kerana ibadah kepada Allah, sesungguhnya Allah itu kekal dan Maha Pemberi Hidup kepada makhluk-Nya. Allah mencintai hamba-Nya melebihi seorang ibu mencintai bayinya.
Maka, tidak ada alasan apa pun di dunia yang dapat meretakkan rumah tangga kecuali jika pasangan menderhakai Allah. Kebahagiaan dalam perkahwinan mesti dimulakan dengan langkah yang pertama iaitu pemilihan yang tepat! Pemilihan tepat perlukan kriteria pemilihan. Kita perlu bertindak dengan berhati-hati dan cermat dalam membuat pilihan agar tidak tersalah pilih. Ingatlah bahawa Allah memakbulkan permintaan kita menurut kehendak ‘niat’. Jika kita menginginkan jodoh baik, mula dari diri sendiri menjadi baik dan carilah di tempat baik pula.
Diriwayatkan daripada Umar bin Khattab bahawa Rasulullah bersabda bersabda bermaksud:
“Pahala perbuatan itu tergantung niatnya, setiap orang akan mendapat pahala sesuai dengan niatnya. Sehingga, sesiapa saja yang berhijrah kerana Allah dan rasul-Nya, maka hijrahnya bernilai di sisi Allah dan rasul-Nya, dan sesiapa saja berhijrah kerana keuntungan dunia atau kerana untuk menikahi wanita, maka yang diperolehnya hanya terbatas apa yang diniatkannya.” (Hadis riwayat Bukhari).
Rasulullah bersabda bermaksud:
“Orang mengahwini wanita kerana empat perkara iaitu hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Oleh itu, carilah wanita yang mempunyai agama (kerana kalau tidak) binasalah dua tanganmu.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Hadis itu tidak hanya merujuk kepada pihak lelaki, malah wanita dalam memilih calon suami.
Oleh kerana Rasulullah tidak merumuskan bentuk tertentu daripada perkataan binasa, berkemungkinan besar yang dimaksudkan ‘binasa’ adalah penderitaan batin kerana ketegangan yang berlaku akibat salah memilih teman. Janganlah terpedaya dengan keindahan fizikal dan duniawi semata-mata dan mengaburkan tujuan perkahwinan yang sebenarnya iaitu penyempurnaan ketakwaan kepada Allah. Jodoh memang sudah ditetapkan Allah, tetapi sesuai dengan hukum-Nya, Allah tidak akan menjodohkan seseorang yang soleh dengan seorang penzina. Jika ingin mendapatkan jodoh yang baik, maka mulalah dengan memperbaiki diri sendiri kerana Allah menetapkan takdir, bahawa:” (Lazimnya) perempuan yang jahat untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. (rujuk artikel ini untuk bacaan lanjut tentang hal ini)
Mereka (yang baik) itu adalah bersih daripada (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (daripada Allah) dan pengurniaan yang mulia. “(Surah an-Nur, ayat 26)Bagaimanakah kita akan mendapat pasangan sebaik Saidatina Siti Khadijah atau Siti Fatimah jika tidak sebaik Rasulullah atau Saidina Ali. Semoga pemilihan yang berdasarkan kepada kriteria di atas akan mendapat kebahagiaan hakiki di dunia dan akhirat.
Sekian…
Artikel ini dipetik dari blog Wadah Wanita Islam dan diubahsuai oleh WanWMA.

Aku Tidak Mahu Kahwin Kerana Aku Tidak Mahu Bercerai!


Antara peruntuh nilai-nilai baik dalam kehidupan manusia hari ini adalah apabila dimudahkan yang haram dan disukarkan yang halal. Sedangkan Islam menyuruh kita membentuk suasana atau iklim kehidupan yang menyukarkan yang haram dan memudah yang halal. Itulah tanggungjawab pemerintah dan umat iaitu menegak yang makruf dan mencegah yang munkar.
Menegak yang makruf itu adalah dengan cara menyuruh, memudah dan membantu ke arah tersebut. Sementara mencegah yang mungkar adalah dengan cara menghalang, melarang dan menyukarkan jalan untuk sampai kepadanya. Namun, jika masyarakat hari ini menyusahkan yang halal dan menyenangkan yang haram, tanda kita begitu menjauhi ruh syariat islam yang hakiki yang diturunkan oleh Allah s.w.t.

Antara perkara yang selalu disusahkan adalah urusan perkahwinan. Kesusahan membina rumahtangga itu kadang-kala bermula dari keluarga sehingga ‘ketidak fahaman’ tok kadi dan seterusnya pengurusan pejabat agama dan mahkamah syariah. Kerenah-keranah yang berbagai telah memangsakan hasrat pasangan untuk mendapat ‘nikmat seks’ secara halal. Lebih menyedihkan apabila kerenah-keranah itu wujud disebabkan kepentingan-kepentingan luar yang bukan kepentingan pasangan secara langsung.
Kenduri kahwin atau walimah telah dijadikan jambatan
kesombongan ibubapa atau keluarga ::::::::::::
Umpamanya, urusan kenduri kahwin atau walimah telah dijadikan jambatan kesombongan ibubapa atau keluarga sehingga ditangguh perkahwinan bagi memboleh kenduri besar-besaran dibuat demi menjaga taraf ‘jenama keluarga’. Sehingga ada pasangan yang terpaksa menunggu bertahun kerananya.
Apatah jika keluarga membebankan semua belanja kepada bakal pengantin. Maka bakal pengantin terpaksa mengikat ‘nafsu seks’ hanya kerana hendak menjaga nafsu menunjuk-nunjuk keluarga. Walaupun kenduri kahwin itu disuruh, namun memadailah dengan kadar yang termampu. Tidak semestinya ‘ditumbangkan’ seekor lembu, atau dipanggil orang sekampung atau sebandar, atau dijemput semua rakan taulan.
Seseorang mengadakannya dengan kadar kemampuannya, seperti sabda Nabi s.a.w:
“Buatlah walimah walaupun sekadar seekor kambing” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dalam ertikata lain, jika hanya mampu kenduri laksa, atau bihun atau mee pun tidak mengapa, asalkan diadakan walimah. Apa yang penting perkahwinan yang halal telah dilunaskan. Janganlah macam orang dulu apabila anaknya sebut ingin berkahwin, bapanya akan bertanya; “kau dah ada lembu ke nak buat kenduri?”. Maka bertangguhlah hasrat si anak. Padahal bukan anaknya ingin berkahwin dengan lembu, dia ingin berkahwin dengan kekasihnya.
Sepatutnya si bapa bertanya: “kau dah ada pasangan ke?”. Itulah soalan yang betul. Lembu tidak termasuk dalam rukun nikah. Apa yang lebih buruk apabila ada pihak yang menjadikan medan walimah sebagai pentas menunjuk-nunjuk kekayaan harta lalu hanya dijemput orang yang ‘berjenama’ dan ditinggalkan saudara-mara, kawan-rakan, jiran-tetangga yang tidak setaraf.
Nabi s.a.w. bersabda:
“Seburuk makanan adalah makanan walimah yang dijemput orang kaya dan ditinggalkan orang miskin..” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Maka, menderitakan bakal suami-isteri disebabkan keangkuhan keluarga.
Kursus kahwin hari ini seakan projek lumayan untuk
mengaut yuran peserta ::::::::::::
Saya bukan anti kursus kahwin. Amat baik kursus tersebut jika diuruskan dengan mantap dan betul. Dalam kursus tersebut boleh disampaikan maklumat hukum-hakam nikah yang disyariatkan Allah sehingga generasi muda dapat melihat betapa cantik dan indahnya Islam. Syariat Islam yang mudah dan penuh hikmat dapat diserap dalam pemikiran bakal pasangan, kursusnya mereka yang masih muda. Agar mereka dapat menyelami kehebatan ajaran Islam ini. Maka kursus itu menjadi saluran dakwah penuh professional, mantap, berkesan dalam jiwa dan penghayatan.

Malangnya, kursus kahwin hari ini seakan projek lumayan untuk mengaut yuran peserta. Bukan sedikit saya terima laporan seluruh negara penceramah kursus kahwin yang berunsur lucah, lawak bodoh serta menggambarkan Islam begitu menakut dan susah untuk difahami dan dihayati. Hukum-hakam diterangkan secara berbelit-belit dan menyerabutkan peserta. Maka, kita lihat walaupun yuran kursus nampaknya makin tinggi dan peserta semuanya diwajibkan berkursus, masalah keretakan rumah tangga bagi generasi baru makin meningkat.
Dr. Mohd Asri
Terima kasih kepada: ibrahim.mydin

Perkahwinan Boleh Mengubati Kemurungan


Di New York satu kajian baru mendedahkan cara terbaik mengatasi masalah kemurungan ialah dengan berkahwin dan merumuskan ikatan itu walaupun kurang membahagiakan memberikan perangsang psikologi lebih baik kepada golongan tertekan berbanding mereka yang gembira.
Kajian terdahulu menyatakan faedah psikologi perkahwinan bergantung kepada sama ada ia dapat memberikan kebahagiaan kepada pasangan suami isteri.
Mengambil petunjuk dari kajian terdahulu, penuntut lepasan ijazah sosiologi di Universiti Ohio, Adrianne Frech, dan rakannya, Kristi Williams, membuat spekulasi orang yang gembira mendapat lebih banyak faedah psikologi dari perkahwinan berbanding golongan tertekan.
Dalam usaha menguji hipotesis itu, mereka meneliti contoh 3,066 lelaki dan wanita yang ditemubual dan diuji untuk masalah kemurungan sekali sama ada pada 1987 atau 1988 dan sekali lagi lima tahun kemudian.
Dalam temubual, mereka ditanya mengenai kualiti perkahwinan jika sukarelawan sudah berkahwin.
Secara purata, dengan mengambil kira perbezaan dalam kemurungan, subjek yang berkahwin lebih lima tahun antara dua temubual melaporkan peningkatan psikologi dalam temubual kedua mendapat purata 3.42 mata lebih rendah pada 84 mata skala kemurungan berbanding rakan mereka yang tidak berkahwin.
Sedikit perbezaan yang mengejutkan ialah kajian yang menunjukkan orang yang murung dan berkahwin menunjukkan mereka lebih mampu meneruskan kehidupan.
Tidak susah untuk berkahwin, carilah pasangan dengan menemui ibu bapa mereka dan nyatakan hasrat di hati. Rujuk cerita di bawah:
Sumber: Halaqah.

Kos Perkahwinan Menyebabkan Ramai Lelaki & Wanita Terus Membujang


Di Malaysia, trend majlis perkahwinan di hotel atau dewan telah mengganti majlis yang biasanya diadakan di rumah. Orang kampung pun sudah pandai kenduri dengan menempah makanan. Jika dulu tuan rumah menghantar tepak menjemput tetapi hari ini ada kad, ada yang pakai emel dan khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk jemput ke majlis perkahwinan. Ke mana pergi adat budaya kita?
Dulu orang bagi bunga telur tanda terima kasih tuan rumah kepada tetamu, hari ini ada yang bagi gula-gula, coklat, buah, kek dan berbagai hiasan termasuk rantai kunci dan sapu tangan. Semua perubahan majlis perkahwinan bermula daripada persedian hingga ke majlisnya menunjukkan masyarakat Melayu Islam Malaysia yang melalui proses perubahan dan yang pasti kelihatan semakin mewah. Namun berapa ramaikah yang benar-benar tahu tentang hukum pernikahan dan hukum mengadakan kenduri atau walimatulurus?
Siapakah yang sepatutnya bertanggungjawab mengadakan majlis dan siapa yang perlu mengeluarkan belanja? Yang pasti, ramai pasangan yang mahu berkahwin, digamit rasa khuatir kerana perkahwinan memakan belanja yang tinggi. Akhirnya, tunda majlis kerana tidak cukup wang.
Adakah perkahwinan itu majlis kenduri atau majlis akad nikahnya? Adakah kenduri itu wajib diadakan?
Pernikahan adalah akad yang ditetapkan oleh syarak bagi membolehkan seorang lelaki menikmati hubungan kelamin dengan seorang perempuan dan sebaliknya. Perkahwinan adalah satu ibadah dalam Islam sebagaimana dalam surah ar-Rum ayat 21. Demikian juga sabda Nabi SAW yang bermaksud:
“Nikah adalah sunnahku dan barang siapa yang tidak suka sunnahku, maka dia bukanlah dari umatku”. (riwayat Ibnu Majah)
Perkahwinan menjadi fardu jika seseorang itu yakin bahawa jika dia tidak berkahwin maka dia akan tercebur ke lembah perzinaan. Selain itu, dia juga mampu melunaskan mahar atau mas kahwin, mampu memberi nafkah isteri zahir dan batin. Perkahwinan adalah sunat bagi seorang lelaki normal yang jika tidak berkahwin tidak akan melakukan zina dan dia juga tidak akan menganiaya isterinya jika berkahwin.
Pernikahan adalah makruh bagi sesaorang yang takut atau bimbang jika dia berkahwin dia akan menganiaya isterinya kerana tidak mempunyai pendapatan yang mencukupi atau perangai yang kasar atau tidak berminat kepada wanita. Perkahwinan adalah haram jika dia yakin dengan perkahwinannya dia akan menzalimi isterinya seperti tidak mampu menanggung nafkahnya atau tidak mampu mengadakan hubungan seks.
Perkahwinan juga bukan sekadar kendurinya saja. Hari ini, orang tidak tanya berapa mahar atau mas kahwin pengantin perempuan kerana ia telah ditetapkan (ikut ketetapan negeri) dan orang mampu mengadakannya. Sebaliknya, tetamu menjeling-jeling wang hantaran dan mengira jumlah dulang yang dihantar. Bukan itu saja, ada yang sanggup membelek-belek barangan yang dihantar hendak menentukan kualiti; tulen atau tiruan.
Ibu bapa sanggup berbelanja ratusan ribu ringgit malah ada pasangan muda yang sanggup berhutang untuk memastikan kenduri perkahwinan menjadi paling meriah dan paling mahal. Memanglah, pasangan mempelai mahu majlis perkahwinan mereka paling istimewa dan unik sebagai tanda cinta mereka. Namun berapa ramai yang tahu bahawa dalam satu majlis perkahwinan, akad nikah itu wajib dilaksanakan kerana ia berlandaskan syarak.
Tanpa akad nikah maka tiadalah majlis perkahwinan. Orang dah kenyang makan dan balik tetapi pengantin belum lagi sah suami isteri kecuali pasangan telah selamat diakad nikahkan. Apa yang berlaku hari ini, pasangan mendahulukan semua yang adat seperti membelanja wang untuk hantaran, membeli barang hantaran, membeli bunga telur atau apa-apa buah tangan untuk tetamu, menempah mak andam beserta pelamin, baju dan hiasan perkahwinan.
Pasangan hanya berbelanja RM300 sebagai mas kahwin atau mahar berbanding RM50,000 untuk yang lain-lain sedangkan ia hanya adat, bukannya wajib. Malah ia boleh menimbulkan riak kerana rasa ingin menunjuk-nunjuk dan pembaziran.
Menurut Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Melaka 2002 mas kahwin adalah pembayaran kahwin yang wajib dibayar di bawah Hukum Syarak oleh suami kepada isteri pada masa perkahwinan diakadnikahkan, sama ada berupa wang yang sebenarnya dibayar atau diakui sebagai hutang dengan atau tanpa cagaran, atau berupa sesuatu yang menurut Hukum Syarak, dapat dinilai dengan wang.
Bagi memastikan suatu perkahwinan itu sah berlaku dan memenuhi kehendak hukum syarak, pasangan hendaklah diakadnikahkan oleh wali atau oleh pendaftar dengan kebenaran wali dan disaksikan oleh dua saksi. Pasangan mestilah seorang lelaki dan seorang perempuan dan pengantin lelaki hendaklah membayar mas kahwin kepada pengantin perempuan.
Alangkah mudahnya majlis pernikahan tersebut dan hari ini pasangan telah boleh bernikah dengan mempunyai minimum RM500 kerana jika maharnya RM300, upah nikah dan sedikit yang lain, pasangan boleh diakadnikah dengan selamat. Tentunya ramai yang berkata “tidak mungkin” kerana hari ini hantaran mencecah RM20,000 (bagi seorang anak gadis yang berkelulusan ijazah pertama tidak termasuk artis, orang kenamaan dan sebagainya).
Itu tidak termasuk harga barang hantaran seperti cincin pertunangan dan cincin perkahwinan (ada juga yang memberi rantai dan gelang emas) kasut, baju, bag tangan, minyak wangi dan lain-lain barangan sokongan sebagai hantaran. Ada pasangan berbelanja RM5,000 ke 10,000 untuk hantaran sahaja. Majlis kenduri jika berlangsung di hotel, kosnya kepada berapa jemputan dan jenis makanan yang dihidangkan dan tidak kurang daripada RM50,000.
Barang-barang lain yang sangat mahal adalah pelamin, baju pengantin dan bunga telur dan hadiah kepada tetamu. Jika dijumlahkan dari bertunang hingga s akad nikah, ada pasangan membelanjakan RM100,000. Ada yang membelanjakan wang simpanan, ada yang membelanjakan duit ibu bapa yang bergadai bergolok untuk majlis anaknya kerana takut malu dan mahu menjaga air muka dan nama. Lebih malang, pengantin lelaki yang terpaksa meminjam wang bank, koperasi atau kawan kerana wang simpanan tidak mencukupi.
Ramai yang terpaksa bertunang lama kerana perlu mengumpul wang. Lebih malang, bayaran pinjaman belum habis dibayar, isteri dah minta cerai. (Utusan Malaysia melaporkan statistik perceraian yang meningkat dan dan 20peratus yang bercerai baru berkahwin lima tahun.)
Menurut kajian, lelaki berkahwin pada usia 28 tahun dan wanita 26 tahun dan adakah ini bermakna pasangan lambat berkahwin kerana faktor kos perkahwinan yang sangat mahal. Perkahwinan adalah isu jodoh dan kita perlu sentiasa ingat bahawa jodoh pertemuan adalah hak Allah. Memang ramai wanita berkahwin lambat kerana kebanyakan wanita berpendidikan tinggi.
Umur minimum tamat ijazah pertama universiti adalah 23-24 tahun dan bagi yang membuat diploma adalah 21 tahun. Bagi yang wanita perkahwinan bergantung kepada jika ada orang masuk meminang tetapi bagi lelaki sama ada dia mampu untuk meminang. Jika tamat belajar mereka berumur 24 tahun dan dengan gaji RM3,000 ke 4,000 sebulan, dengan membayar PTPTN, pinjaman kereta dan perbelanjaan harian, mereka mungkin dapat menabung RM1,000 sebulan. Jika perbelanjaan perkahwinan (hantaran sahaja RM15,000) mereka perlu menabung 15 bulan. Jika anggaran perbelanjaan perkahwinan itu RM50,000 maka mereka hanya boleh berkahwin selepas 50 bulan bekerja (iaitu empat tahun) dan tentulah usia perkahwinan menjadi 28 tahun.
Alangkah baiknya simpanan RM50,000 itu dijadikan wang muka membeli rumah dan pasangan boleh terus tinggal di rumah sendiri selepas berkahwin. Memang kos perkahwinan telah naik tetapi itu bukan alasan melewatkan perkahwinan. Ibu bapa perlu ada transformasi pemikiran daripada mahu mengadakan majlis besar-besaran kepada melihat anak berumahtangga tanpa hutang dan memulakan kehidupan rumahtangganya tanpa riba. Tepuk dada tanya selera.
Sumber : Utusan Malaysia

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Sepanjang Zaman